Ads

Dengar bajet jer, mesti masing-masing ‘terpaku’ di kaca televisyen ataupun di skrin telefon untuk mendengar apa yang perlu dibentangkan untuk menghadapi tahun 2019. Apa yang menariknya bentangan daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu adalah tentang strategi 11 – Mendefinisi semula peranan kerajaan dalam perniagaan.

Beliau telah membentangkan Belanjawan 2019 dengan tema “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera. Belanjawan ini memberi fokus kepada tiga perkara utama dengan 12 strategi utama yang turut digariskan.

Salah satu fokus yang menjadi perhatian kerajaan dalam Belanjawan 2019 ialah Memupuk Budaya Negara Keusahawanan. Apa yang anda faham di sini? Ini memberikan kita pemahaman bahawa kerajaan sedang membina Malaysia berteraskan kepada keupayaan usahawan khasnya untuk kalangan golongan muda.

Menurut Guan Eng, keusahawanan ini menggunakan kerjasama meliputi sektor awam, swasta, golongan profesional dan juga rakyat untuk melaksanakan sesuatu pembangunan atau projek. Dengan adanya keempat pihak ini, Malaysia memiliki ekosistem baharu yang mampu memenuhi potensi dan keperluan rakyat.

Selain itu, antara usaha baik yang dapat dilihat dalam Belanjawan 2019 ialah usaha Kerajaan untuk menyelaraskan dana-dana modal yang diuruskan oleh agensi Kerajaan seperti Malaysia Technology Development Corporation, Malaysia Debt Ventures Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd, Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd.

Usaha yang kerajaan ini laksanakan adalah untuk memberi sokongan meluas kepada perkembangan teknologi terkini dan memastikan usahawan di Malaysia khasnya golongan muda mempunyai pembiayaan mencukupi untuk merancakkan perniagaan mereka.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga berusaha untuk meningkatkan keperluan usahawan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 juga menjadi sebahagian daripada isi penting Belanjawan 2019. Kerajaan juga memperuntukkan RM210 juta dari tahun 2019 hingga 2021 untuk membantu 500 syarikat PKS beralih kepada teknologi dalam Industri 4.0.

Dengan matlamat untuk merancakkan lagi perkembangan industri dan menerapkan teknologi pintar, kerajaan juga turut menyediakan dana Transdormasi Pendigitalan Industri dengan jumlah RM3 bilion.

Lebih menarik, menjelang tahun 2019 Kerajaan akan memberikan akses kepada sektor swasta untuk menggunakan 250 kemudahan dan 1,200 peralatan saintifik serta data penyelidikan. Ini akan membantu syarikat-syarikat tempatan untuk menjalankan R&D menggunakan sumber-sumber dimiliki kerajaan yang sedia ada.

PKS jelas menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan 2019 bagi menggalakkan syarikat-syarikat PKS khasnya yang dimiliki usahawan muda untuk terlibat dalam pasaran eksport, kerajaan menawarkan kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS berjumlah RM2 bilion.

RM100 juta turut akan diperuntukkan kepada TEKUN untuk membiayai usahawan kecil. Ini merupakan antara peluang yang wajar direbut oleh usahawan-usahawan muda.

Kerajaan juga akan menyediakan sokongan bagi memastikan produk dan perkhidmatan tempatan akan mendapat peluang untuk ditempatkan di pasar raya besar, pusat membeli belah dan ekspo perdagangan utama.

Ini ialah sokongan penting yang diperlukan memandangkan terdapat banyak produk tempatan kini yang memiliki kualiti lebih baik berbanding produk-produk luar yang kini memenuhi rak-rak di pasar raya.

Kerajaan juga menyokong pembangunan syarikat-syarikat milik usahawan muda yang terlibat dalam perkhidmatan pelancongan melalui Belanjawan 2019 ini. Ini dapat dilihat apabila Kerajaan menyediakan geran sepadan bernilai RM100 juta kepada syarikat swasta yang boleh digunakan untuk program promosi dan pemasaran pelancongan peringkat antarabangsa.

Dalam bidang agromakanan pula, Kerajaan menyediakan dana berjumlah RM52 juta untuk melaksanakan pelbagai program keusahawanan dan latihan industri tani untuk menarik penglibatan golongan muda menceburkan diri dalam sektor ini.

Daripada pembentangan Belanjawan 2019 ia jelas memberikan fokus besar kepada bidang keusahawanan dan ini merupakan sesuatu yang perlu direbutkan oleh golongan usahawan muda itu sendiri. Tak perlu berada di rumah hanya untuk tanam anggur sahaja. Anggur kalau berbuah tak apa jugak, ini anggur yang tak memberikan hasil? Faham ke?

Dengan fokus kepada bidang keusahawanan yang berteraskan teknologi dan kemajuan digital ini, ianya mampu memberikan kelebihan kepada usahawan muda kerana ini ialah bidang yang sedang berkembang dan mampu melonjakkan potensi usahawan muda ini ke peringkat lebih tinggi.

Jadi anda perlu ‘grab’ peluang ini. Jangan salahkan syarikat yang tak mahu ambil anda bekerja, tapi anda sendiri patut ‘selongkar’ apa yang dapat dilakukan oleh anda untuk perbaiki hidup. Dr Azizan sendiri pernah cakap, kalau nak mulakan perniagaan mulakan apa yang ada di tangan. Jika anda masih blur katak dan tak tahu bagaimana nak mulakan perniagaan, cuba dulu jadi dropship atau ejen ataupun stokis dahulu. Kini, banyak produk yang ada dan tengah ‘menggila’ dalam laman sosial. Kenapa anda hanya diam dan tak buat apa-apa tindakan? Jangan harap orang kena pukul baru nak jalan. Lakukan tindakan segera. Tahun 2019, mungkin akan menjadi tahun bertuah untuk anda!

Ads

One comment

  • Rohana Ahmad
    Rohana Ahmad
    Reply

    Terbaik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *
You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>