
Pengalaman pahit dan susah payah kisah usahawan ini untuk bina kerjaya dan bisnes mencuri hati penduduk Amerika suatu ketika dahulu. Chris Gardner atau nama penuhnya Christopher Paul Gardner merupakan usahawan dari Amerika Syarikat dan penceramah motivasi. Perjalanan untuk mencapai title jutawannya penuh dramatik dan duka hingga kisahnya dilakonkan semula di dalam filem ‘Pursuit of Happiness’.
Filem ini berjaya merangkul 7 anugerah di antaranya daripada MTV Awards. Watak Chris Gardner di dalam filem ini dilakonkan oleh pelakon terkenal, Will Smith. Filem ini juga berjaya mendapat kutipan box office sebanyak USD307 juta.

Namun, siapa sangka Chris Gardner yang kini mempunyai jumlah kekayaan berjumlah USD60 juta dahulu adalah seorang gelandangan. Beliau bina bisnesnya daripada zero to million. Tambah sedih, ketika beliau tiada wang dan hidup susah isterinya tekad untuk meninggalkan beliau dan anak mereka. Chris Gardner berusaha bermacam-macam cara demi menyara hidup beliau dan anaknya yang baru berusia 5 tahun pada ketika itu.
Chris Gardner memulakan kerjaya sebagai salesman menjual alatan medikal dari hospital ke hospital. Hinggalah suatu hari beliau menemui seorang lelaki yang berpakaian kemas yang memandu kereta Ferrari berwarna merah. Lelaki itu adalah seorang broker saham yang bernama Bob Bridges. Chris menyapa Bob untuk mengetahui apa pekerjaan Bob.
Dari saat itu, Chris dah tentukan jalan kariernya. Kali kedua mereka berjumpa, Bob berjaya mendapatkan satu sesi temuduga untuk Chris sebagai seorang intern di syarikat Bob bekerja iaitu di Dean Witter. Dean Witter adalah sebuah syarikat broker saham terkenal di Amerika Syarikat yang kini mempunyai jumlah asset USD17.3 billion dan merupakan ahli terbesar di dalam New York Stock Exchange.
Pada hari temuduga, Chris Gardner hadir ke sesi temuduga ke syarikat berprestij itu sejurus keluar lokap. Chris Gardner dimasukkan ke lokap kerana tidak membayar saman keretanya yang banyak. Dengan hanya berpakaian seluar jeans dan t-shirt beliau segera hadir ke temuduga itu kerana tidak ada masa untuk tukar pakaian.
Mulanya beliau beranggapan beliau tidak dapat jawatan itu. Tapi, barisan penemuduga di Dean Witter dapat melihat dedikasi dan semangat Chris dan akhirnya beliau diterima bekerja sebagai intern. Meskipun sebagai intern dan tidak menerima gaji langsung, beliau tekad demi mengejar cita-cita. Tempoh latihan itu selama enam bulan. Dalam tempoh itu, Chris menyara hidup mereka anak beranak dengan hasil jualan alatan medikal.
Tapi hasil jualannya ketika itu sangat terhad. Akibat ketiadaan wang untuk membayar sewa, beliau dihalau keluar daripada apartmentnya. Tambah menyedihkan, Chris dan anaknya pernah tidur di dalam tandas awam kerana ketiadaan tempat untuk berteduh.
Dibesarkan tanpa mengenali bapa kandungnya, Chris tidak mahu nasib yang sama menimpa anaknya. Beliau amat mengasihi anaknya hingga melayakkan beliau untuk menerima anugerah Father of the Year Award dari the NFI pada tahun 2002.
Chris tidak pernah mengabaikan anaknya dan tidak sanggup berpisah dengan anaknya. Setiap hari beliau akan membawa pakaian beliau dan anaknya ke pejabat kerana tiada rumah. Rutin ketika tempoh latihan di Dean Witter, Chris akan menghantar anaknya ke pusat asuhan setiap pagi dan perlu pulang awal dari tempat kerja. Hal ini kerana, Chris perlu beratur dan merebut peluang tempat tidur yang terhad di pusat transit gelandangan bersama-sama gelandangan yang lain. Di pusat gelandangan itulah juga, pada setiap malam, Chris belajar agar lulus peperiksaan bagi diterima bekerja secara tetap di syarikat Dean Witter.
Suatu hari, Chris Gardner dipanggil oleh majikannya. Majikannya memberitahu Chris merupakan seorang intern yang bagus dan diterima bekerja secara tetap. Chris sebak dan menangis dalam perjalanan pulang beliau dari tempat kerja. Lantas beliau ke tempat asuhan anaknya dan peluk anaknya dengan erat. Beliau gembira dan nampak sinar harapan. Beliau tahu kesusahan hidup mereka dua beranak akan berakhir.
Setelah memulakan karier di Dean Witter, Chris mengambil keputusan untuk membuka firma pelaburannya sendiri yang dinamakan Gardner Rich pada tahun 1987. Pada tahun 2006, dengan menjual minoriti saham dari syarikatnya, Chris mendapat keuntungan multi-million USD. Kini, 200 hari dalam setahun Chris Gardner akan menjelajah ke seluruh dunia memberi motivasi di lebih 50 buah negara.
Semangat tak mudah putus asa dan dedikasi Chris Gardner untuk menjadi usahawan berjaya harus dicontohi oleh usahawan yang ingin bina bisnes berjaya. Berapa ramai di antara anda yang asyik merungut tentang kesusahan hidup?
Kesimpulannya, masih ada sinar di hujung terowong. Peluang itu sentiasa terbuka untuk anda. Jangan selalu membuat alasan tapi diri sendiri tidak betul-betul berusaha untuk mengubah hidup. Setiap orang diberikan 24 jam yang sama. Sama ada anda betul-betul manfaatkan masa yang diberikan itu ataupun tidak. Menurut Dr Azizan Osman juga, kita hanya perlu “Do the best and trust the process!” Boleh boleh?