
‘Saya mesti jadi CEO!’
Ramai yang mempunyai cita-cita nak jadi CEO.. yela, siapa yang tak nak ada jawatan dan kedudukan yang boleh buatkan orang pandang kitakan?
Selain tu, apa sebab yang kuat buatkan sesetengah orang betul-betul nak jadi seorang CEO? Melalui pemerhatian, sebabnya tak lain tak bukan adalah:
✎ Tidak mahu bekerja makan gaji
✎ Nak jadi CEO dan OWNER
✎ Nak ada kebebasan kewangan, masa dan tentukan sendiri macam mana nak habiskan masa itu
✎ Nak jadi jutawan
✎ Dah tak nak hidup biasa-biasa dan nak jadi ‘hidup yang luar biasa’
✎ Nak selalu pergi melancong di dalam dan luar negara
Tapi.. senang ke jadi CEO ni? Mesti ada cabarannya..
Dan kami nak kongsikan bagaimana cara menjadi seorang CEO terutamanya untuk bisnes startup menggunakan tips yang dikongsikan oleh penulis buku ‘ The Great CEO Within’ – Matt Mochary.
Buku yang setebal 104 muka surat ini ditulis oleh Matt Mochary yang merupakan pelatih profesional kepada warga CEO di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
Antara tips-tips yang dikongsikan oleh Matt Mochary adalah:
1) Memulakan Perniagaan
Matt Mochary memberi tips kepada pengasas syarikat (founder) agar tidak ‘gila’ menubuhkan syarikat seorang diri. Tegas beliau, bagi menubuhkan sebuah syarikat secara berseorangan sangatlah susah dan tidak stabil. Menurut beliau, pengasas secara perseorangan selalunya mudah gagal dan merudum kerana tekanan perasaan yang tinggi nanti.
2) Amalan dan Sikap Individu
Sebuah syarikat yang cemerlang mempunyai team yang terdiri daripada individu-individu yang hebat menjalankan tugas masing-masing dan pada masa yang sama mampu bekerjasama dengan baik. Oleh kerana itu, sebagai CEO, anda adalah arkitek pembentukan budaya dalam syarikat dan menjadi hub utama aliran sumber maklumat kepada staf yang akan membolehkan individu-individu lain bekerja dengan baik.
Selain itu, tindak-tanduk anda menjadi inspirasi kepada warga lain dan tahap kecekapan anda akan menentukan tahap kecekapan orang lain juga. Maka, kerana itulah langkah pertama adalah bermula dengan mengoptimumkan gaya kerja anda dan tahap kecekapan diri sendiri.
3) Amalan dan Tabiat Kumpulan
Antara kata-kata Matt Mochary: “Tidak kiralah sama anda mempunyai idea yang paling original dan inovatif dan anda mempunyai tabiat yang sangat produktif, anda tidak akan mampu membina syarikat yang terbaik secara bersendirian”.
Kejayaan sesebuah syarikat tersebut adalah bergantung pada kehebatan kumpulan dalam syarikat itu. Jadi, sebagai permulaan adalah sangat digalakkan untuk fokus pada pembentukan tabiat individu dahulu sebelum ia dapat mengubah tabiat kumpulan. Antara tips beliau dalam perbicangan ini adalah dengan mempunyai teknik percakapan dan menulis yang efisien.
4) Infrastruktur
Sesebuah syarikat yang mahu berjaya dengan cemerlang, mesti mempunyai kelengkapan kemudahan yang baik. Jika tidak, staf anda tidak akan mampu bekerja dengan secekap yang mungkin dan ini bakal mengurangkan tahap produktiviti. Ibarat sebuah bandar yang berfungsi dengan baik, ia memerlukan infrastruktur yang komprehensif, keadaan trafik yang baik dan ia boleh dipercayai.
Contohnya adalah dalam isu sistem pendokumentasian. Menurut Matt Mochary, setiap syarikat mesti mempunyai sistem perfailan yang tersusun untuk menyimpan dokumen seperti Google Drive, Dropbox atau Quip.
5) Kerjasama
Antara langkah paling berbahaya yang akan dihadapi oleh syarikat ialah apabila CEO membuat keputusan untuk menambah bilangan staf daripada kurang 10 orang kepada lebih 20 orang staf. Untuk situasi ini, Matt Mochary mengatakan yang masalah seperti komunikasi dan produktiviti akan selalunya muncul dan ia adalah normal. Ketika ini, staf yang ramai tidak lagi akan duduk dalam pejabat yang sama. Mereka akan berkomunikasi secara berjauhan dan ia memberi cabaran kepada anda sebagai CEO kerana ia melibatkan produktiviti syarikat.
Persoalan lain yang muncul juga…bagaimana untuk capai perkara ini dengan jayanya? Matt Mochary mengatakan, 4 cara utama ini perlu dilaksanakan oleh setiap CEO syarikat di dalam organisasi mereka.
1. Tetapkan visi dan matlamat syarikat, setiap jabatan dan juga individu dengan kerap.
2. Berkomunikasi mengenai visi dan matlamat tersebut kepada semua staf.
3. Memeriksa kembali laporan dan rekod pencapaian dalam aktiviti mingguan. 4. Menggalakkan ahli untuk memberikan maklum balas terutamanya yang melibatkan perkara negatif yang perlu diubah menjadi lebih baik.