
Sedangkan bisnes yang dah lama bertapak, dah maju dan semakin berkembang pun boleh gagal dan tewas di tengah jalan, inikan pulak bisnes yang baru nak up, bisnes yang setahun jagung dan bisnes yang masih kecil.
Orang kata dari kesilapan kita boleh belajar dan perbetulkan tindakan kita. Tak dinafikan.. tapi kalau asyik berulang je kesilapan yang sama, tu namanya tak berapa nak cerdik.
Jadi sebelum anda buat kesilapan yang akan menjejaskan masa depan bisnes, adalah sangat bagus anda baca dulu ‘10 Kesilapan Utama Dalam Perniagaan Kecil’ yang kami kongsikan dan semoga ianya bermanfaat.
1. Terlalu yakin dengan sesuatu idea dan taksub dengannya
✍ Jangan terlalu yakin dengan satu idea sahaja. Ingat, idea adalah matawang kepada usahawan. Pelbagaikan idea dan lihat yang mana berupaya memberi ganjaran dan kejayaan kepada anda.
2. Tiada Pelan Pemasaran
✍ Pelan Pemasaran boleh memberikan perhatian yang anda perlukan kepada pihak sasaran. Ia menjadi daya tarik pelanggan terhadap anda! Terdapat berbagai cara untuk memasarkan perniagaan anda dengan kos yang rendah ataupun tanpa melibatkan sebarang kos.
3. Tidak mengenali pelanggan anda
✍ Perubahan pada citarasa pelanggan dan juga produk serta perkhidmatan persaing akan mempengaruhi perniagaan anda, kecuali jika anda kenal pelanggan secara dekat, tahu kehendak mereka pada masa kini dan masa hadapan, tahu corak pembelian mereka dan tahu bagaimana untuk membantu mereka walaupun anda tidak mempunyai produk ataupun perkhidmatan tersebut.
4. Tidak peka dengan kedudukan aliran tunai syarikat
✍ Walaupun anda mempunyai produk yang paling terbaik, pelanggan mungkin tidak akan membelinya dalam tempoh waktu yang anda fikirkan. Oleh itu kedudukan aliran tunai yang mantap penting untuk menampung diri dan syarikat anda dalam tempoh tersebut.
5. Tidak peduli tentang kakitangan
✍ Salah satu cabaran yang paling sukar bagi seorang usahawan atau pemilik perniagaan ialah untuk memberi motivasi, bimbingan dan mengurus pekerja. Tanpa kesabaran, kesungguhan dan kemahiran, masalah tersebut akan menjadi lebih teruk. Moral dan produktiviti pekerja serta keuntungan syarikat boleh musnah dengan segera!
6. Keliru tentang kemungkinan dengan realiti
✍ Usahawan yang berjaya hidup di dalam dunia yang penuh dengan kemungkinan tetapi mereka berbelanja dalam dunia realiti.
7. Tiada pelan penjualan
✍ Tanpa pelan penjualan, maka tidak ada cara untuk mengukur perkembangan kewangan dan kemajuan perniagaan anda. Anda memerlukan plan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.
8. Fikir boleh buat semua benda sendiri
✍ Anda mungkin tahu kesemunya tetapi anda tidak boleh melakukanya seorang diri dan berkembang pada masa yang sama. Anda perlukan kakitangan untuk mengagihkan tanggungjawab kepada mereka.
9. Tiada Mentor
✍ Anda perlukan satu lembaga penasihat ataupun seorang mentor! Bagi mereka yang mempunyai perniagaan yang kecil, adalah amat penting untuk ada mentor supaya dapat elakkan anda dari buat kesilapan.
10. Sikap berputus asa ✍ Kebanyakan usahawan yang berjaya pernah mengalami kegagalan. Oleh itu, sekiranya anda gagal, biarkan kegagalan itu. Bangun dan belajar dari kesilapan dan kegagalan lalu. Jangan berputus asa dan menderita.