Ads

Menjadi pemimpin memang impian ramai orang. Menjadi pemimpin bermakna ada ramai pengikut dan penyokong, ada ramai yang memuji dan menyanjung. Dipandang sebagai sumber rujukan, dikagumi, dijadikan contoh dan teladan. Segala yang baik-baik InsyaAllah boleh dimiliki oleh seorang pemimpin.

Dari dahulu lagi dan mungkin dari zaman Neolitik, seseorang mungkin dipilih menjadi pemimpin bila dia dilihat sebagai lebih menonjol dari orang lain. Dia mampu menjalankan tanggungjawabnya lebih baik dari orang lain. Selalunya dia buat lebih banyak dan sentiasa untuk bersedia untuk beri lebih dari apa yang diharapkan.

Dalam sesebuah organisasi, pemimpin diletakkan dalam carta organisasi tertinggi. Dalam sebuah kerajaan dan dalam masyarakat juga ada pemimpinnya sendiri. Kita juga telah diperkenalkan dengan idea menjadi ketua semenjak sekolah lagi. Ketua, adalah seorang yang boleh kita harapkan dan bersandar harapan.

Usahawan adalah seorang pemimpin. Seseorang individu adalah sepatutnya menjadi seorang pemimpin. Dalam Islam, seorang hamba Allah yang lahir ke muka bumi ini adalah seorang khalifah, perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling.

Kalau nak bercakap tentang ciri-ciri kepimpinan, memang mudah. Google saja dan anda boleh nampak ratusan artikel tentang kepimpinan. Tapi isunya, berapa ramai yang tahu tentang ciri-ciri pemimpin yang bagus tapi tidak mengamalkannya? Berapa ramai dari kita yang rasakan diri mereka seorang pemimpin tapi mereka langsung tak peduli untuk memperbaiki diri dan menjadi pemimpin yang lebih baik?

Berapa ramai pula antara kita yang rasa, diri kita lah pemimpin yang paling bagus! Betul? Atau kita hanya sukakan perhatian yang diberikan?Kesilapan besar seorang pemimpin lakukan ialah bila mereka mahukan segala kemanisan saat bergelar pemimpin tapi enggan buat kerja-kerja bawahan atau kerja-kerja belakang yang seorang pemimpin harus lakukan.

Bukan mudah nak menjadi pemimpin, ianya perlukan tahap kesedaran yang tinggi, komited untuk memperbaiki sikap, sentiasa berusaha untuk cipta dan capai kejayaan baru, sentiasa bersedia untuk berfikir dan merancang strategi untuk capai lebih banyak kejayaan, sanggup untuk turun ke bawah dan memimpin serta menghasilkan lebih ramai pemimpin.

Ye betul, pemimpin yang bagus akan mampu menghasilkan lebih ramai pemimpin di bawahnya dan ini adalah bukan sesuatu yang mudah. Mengenalpasti kebolehan orang lain untuk memimpin, melatihnya dan seterusnya melepaskannya untuk memimpin satu kumpulan yang lain adalah kunci kejayaan sebenarnya seorang pemimpin.

Jika kita lihat sejarah ketamadunan manusia, atau sejarah terbinanya empayar perniagaan yang besar-besar, kunci utama mereka adalah bila mereka berjaya melahirkan pemimpin baru yang mempunyai misi visi, cara fikir, matlamat, kefahaman, tindakan yang sama. Kalau terpesong pun hanya sedikit dan mudah dibentuk semula. Malangnya, tak ramai orang mampu memimpin dengan tujuan untuk melahirkan lebih ramai pemimpin. Orang lebih mudah untuk membunuh pemimpin lain, dengan harapan kita sendiri seorang diri boleh menakluki semua perkara.

Secara logik akal, setiap manusia ada kemampuan yang terhad. Tapi jika seorang manusia mampu menduplikasikan dirinya, membina lebih ramai pemimpin, segalanya akan menjadi lebih besar, mudah dan hebat. Dan jika anda nak menjadi pemimpin yang berbeza, pimpinlah dengan hati…dengan inspirasi dan aspirasi, dengan niat dan misi visi yang jelas, dengan tujuan yang murni. Pimpinlah dengan hati dan bukan dengan penuh benci.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *
You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>