
Buat julung kalinya, anak Melayu, gah berdiri dengan segak berbaju Melayu lengkap bersamping berkongsi kaedah pemasaran efektif di persidangan antarabangsa dunia. Pakar pemasaran terkenal, Dr Azizan Osman menyampaikan ucapan itu di persidangan industri pemasaran dan pengiklanan serata dunia, MADcon: Global Marketing Summit yang berlangsung di Le Meridien Dubai pada 16 – 18 Disember 2019.
Dr Azizan turut dianugerahkan Top 50 Marketing & Advertising Leaders. Pihak penganjur MADCon Dubai 2019, Prism Events menyatakan persidangan ini bertujuan memberi peluang pembelajaran dan perkongsian di mana lebih 50 pakar industri dari seluruh dunia telah berkongsi tentang pengalaman perniagaan dan strategi pemasaran mereka yang berkesan.

Teruja dengan semangat luar biasa Dr Azizan Osman yang tidak lokek berkongsi ilmu, beliau turut menerima tepukan gemuruh daripada penonton apabila beliau menjadi salah seorang penyampai ucaptama yang menyampaikan topik “Why Community Building & Event Marketing Are The Most Effective Ways To Get Loyal Audiences?” atau “Mengapa Pembangunan Komuniti & Pemasaran Acara Adalah Kaedah Paling Berkesan Untuk Mendapatkan Penonton Yang Setia?”.
Ucapan beliau mendedahkan kaedah pemasaran efektif yang membantu menaikkan nama syarikat RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) di mata dunia. Ini terbukti apabila RichWorks dinobatkan Top 100 Marketing & Advertising Companies Award di dalam persidangan itu.
Merujuk jumlah pertambahan peserta yang hadir ke program RichWorks, dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ketika program pertama RichWorks, bilangan peserta hanya seramai 45 orang sahaja. Hari demi hari, peserta semakin bertambah dan program RichWorks mencuri perhatian ramai. Menginjak ke tahun pertama, program RichWorks mampu menarik peserta seramai lebih 11 ribu orang dalam sesebuah program.
Kini, program RichWorks sudah dihadiri seramai 10 ribu orang dalam satu program. Rekod tertinggi yang pernah dicapai adalah pada tahun 2013 iaitu seramai 126,000 peserta setahun. Kunci utama kejayaan ini adalah mencipta engagement dengan peserta sekaligus bina mereka untuk menjadi pelanggan yang setia. Selain itu, tidak dinafikan pengaruh Dr Azizan Osman sendiri untuk membina raving fans yang sentiasa ternanti-nanti kemunculannya di atas pentas.

Dalam ucapan Dr Azizan Osman ketika persidangan itu, terdapat banyak intipati dan ilmu yang bermanfaat untuk diteladani usahawan di luar sana. Perkongsian ini adalah berdasarkan perjalanan pengalaman kerjayanya yang akhirnya membuatkan beliau dikenali di mata dunia.
Bermula pada tahun 2001, beliau mula mengurus dan bekerja dalam beberapa projek syarikat multinasional di Malaysia. Beliau bekerja dalam bidang yang memerlukan perhubungan awam di antara pelanggan seperti ‘face to face marketing’, events dan roadshow.
Kemudian, Dr Azizan mencipta nama dengan kejayaan penubuhan agensi pengiklanannya sendiri. Dari situ, nama beliau mula dikenali setelah lahirnya jenama yang terkenal melalui khidmat dan bimbingan agensi beliau. Tanpa disangka, ramai usahawan yang datang untuk mendapatkan bimbingannya dalam bidang perniagaan. Sejak itu, Dr Azizan Osman mengambil inisiatif untuk membantu para usahawan dengan mengadakan seminar bisnes dan pemasaran.
Pada tahun 2008, Dr Azizan Osman mula menukar cara beliau dalam melakukan aktiviti pemasaran dengan merujuk dan mengkaji bagaimana strategi jenama antarabangsa seperti Sales Force dan Apple membina pelanggan setia. Beliau berusaha melaksanakan formula pemasaran yang sama dengan mewujudkan komuniti khusus bertujuan untuk menyasarkan pelanggan melalui medium Facebook Group.
Matlamat penggunaan Facebook Group ini adalah untuk berkomunikasi dan berkongsi dengan ahli group tentang apa sahaja yang berkaitan bisnes sekaligus mendidik mereka agar faham tentang nilai servis yang ditawarkan oleh RichWorks. Melalui platform itu, RichWorks mempunyai masa yang lebih untuk bina kepercayaan mereka.
Terdapat pelbagai cara yang dilakukan team RichWorks untuk ‘memancing’ orang ramai masuk ke dalam Facebook Group. Antaranya dengan memberikan mereka bahan-bahan bermanfaat secara percuma seperti e-book, video, webinar, atau seminar percuma bertujuan untuk mereka kenal dahulu jenama RichWorks. Apabila mereka telah berada di dalam Facebook Group itu, secara tidak langsung mereka akan lebih banyak meluangkan masa di medium tersebut. RichWorks pula sebagai moderator menggunakan peluang keemasan ini untuk mendidik mereka dengan lebih dekat tentang servis yang ditawarkan.
Dr Azizan Osman sempat berseloroh dalam ucapannya dengan memberitahu, cara yang paling berkesan untuk memenangi hati seseorang dengan membawa mereka ‘dating’ atau dalam konteks RichWorks membawa mereka ke event. Kemudian, ketika event RichWorks berlangsung, beliau akan menjalankan segala aktiviti pemasaran dan langkah seterusnya mendidik peserta tentang nilai yang lebih tinggi jika mereka menyertai program seterusnya.
Tambah Dr Azizan Osman lagi, sukar untuk kita membeli hati pelanggan jika mereka jauh daripada kita. Katanya, ”Pemasaran dan pengiklanan hanyalah buang masa sekiranya anda tak wujudkan komuniti”. Faedah lain, usahawan juga dapat membuktikan kepada ahli komuniti yang anda betul-betul komited untuk berkomunikasi dengan mereka. Jadi, lebih mudah untuk tukarkan mereka menjadi pelanggan tetap. Tambahnya lagi, usahawan juga buang masa sekiranya menjalankan aktiviti pemasaran tanpa merekodkan data pelanggan. Hal ini kerana melalui data itu, usahawan boleh mengetahui kehendak sebenar pelanggan.
Selain itu, kaedah pemasaran biasa yang menyasarkan kepada umum membuatkan prospek mudah untuk datang dan pergi. Paling merugikan, usahawan berpotensi tinggi untuk kehilangan prospek berkenaan. Oleh sebab itu, usahawan perlu kenal pasti dengan jelas dan terperinci sasaran pelanggan dan seterusnya bina engagement dengan mereka. Beliau akui usahanya yang tidak menyasarkan terlalu ramai peserta untuk menyertai program RichWorks amat berkesan.

Ketika sesi soal jawab, Dr Azizan Osman sempat berkongsi tentang perincian sasaran peserta untuk mempromosikan program-program yang dianjurkan RichWorks. Dr Azizan Osman menyasarkan kepada golongan wanita, berumur 26 hingga 38 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya dua orang anak dan wanita yang bekerja.
Rumusannya, Dr Azizan Osman menggunakan strategi membawa pelanggan dekat kepadanya dengan cara membina ‘kolam’. Terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan seperti Telegram, WhatsApp dan pelbagai lagi medium lain. Kemudian, melalui engagement dengan mereka dengan cara berkomunikasi, beri informasi, dan mendidik tentang nilai servis sangat efektif dalam membantu mengubah mereka menjadi pelanggan tetap. Strategi ini telah terbukti berkesan dan wang yang dilaburkan untuk aktiviti pemasaran memberi pulangan yang amat berbaloi.