
“Bila nak kaya ni?” Kata-kata ‘azimat’ ni juga lah yang sibuk kita nak lontarkan tapi dah buat tindakan ke belum? Kita boleh jadi jutawan dalam bisnes kalau kita ada kemahuan dan tak buang masa. Ramai yang nak berurusan dengan duit tapi tak tahu nak urus duit dengan baik. Sebenarnya perkara ini paling penting dalam bisnes. Kalau tak, kita mungkin tak akan nampak berapa duit yang kita ada dan mungkin kita tak tahu ke mana penggunaan duit bisnes kita.
Jangan salah faham sebenarnya buat bisnes kecil inilah permulaan untuk kita belajar urus kewangan dengan baik. Silap mula, silap lah perjalanan bisnes kita!
Jom urus kewangan dengan 3 langkah ini:
1. Kawal emosi boleh kawal kewangan
Masalah ini bukan hanya dihadapi dalam kalangan wanita sahaja, malah kaum adam juga gagal mengawal emosi dalam berbelanja. Emosi kita akan memberontak apabila kita ada sesuatu keinginan untuk membeli barangan yang bukan keperluan tapi hanya kehendak sahaja.
Langkah bijak untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengurus pembelian barang sama ada keperluan atau kehendak. Utamakan keperluan berbanding kehendak. Keperluan adalah perkara asas yang akan digunakan dalam rutin seharian anda untuk meneruskan kehidupan yang sempurna. Kehendak adalah sesuatu yang anda ingin miliki sekiranya dah menyelesaikan keperluan hidup anda. Sekiranya mampu kawal emosi dengan baik, anda juga mampu urus bisnes anda dengan baik.
2. Rekod jumlah keluar masuk kewangan
Catat semua kos jualan, untung, dan kos perniagaan tetap. Kos jualan adalah kos yang anda keluarkan untuk menjual produk atau servis yang anda dagangkan. Sebagai contoh, anda ada bisnes tudung, untuk menghasilkan tudung tersebut, anda perlu tahu upah jahit, jumlah kos material yang digunakan, jumlah kos penghantaran dan sebagainya. Jumlah yang digunakan ini perlu direkod dan sebaiknya anda dapatkan resit pembelian supaya lebih jelas.
Anda juga perlu kira dan rekod keuntungan kasar atau Gross Profit Margin supaya anda tahu jumlah kemampuan jualan anda pada setiap hari, bulan dan tahunan. Hal ini dapat meningkatkan aktiviti pemasaran anda supaya lebih agresif dan sistematik.
Kos perniagaan tetap adalah kos keperluan perniagaan anda yang perlu dibayar pada setiap bulan. Sebagai contoh, sewa kedai atau tapak, bil api air, bil telefon, gaji pekerja, dan sebagainya. Sekiranya anda rekod semua perjalanan keluar masuk kos dan untung, anda akan lebih jelas dan faham untuk menguruskan kewangan bisnes anda.
3. Tahu ‘magic number’ anda
Apabila anda berniaga, anda perlu tahu ‘magic number’ anda. Bukan hanya sekadar nak berniaga dan nak dapatkan keuntungan. Anda perlu tahu target harian, bulanan, dan tahunan dalam perniagaan anda. Apabila anda tahu target anda, anda akan mulakan tindakan untuk mencapai target anda. Sebagai contoh, target jualan anda setiap hari adalah menjual sebanyak 100 helai tudung, bermakna target bulanan anda adalah 3,100 helai tudung dan target tahunan anda adalah 37,200 helai tudung.
Untuk mencapai target jualan ini, anda perlu fikirkan aktiviti dan cara untuk capai dan realisasikan matlamat ini. Aktiviti jualan boleh dijalankan sama ada online atau offline. Pada era digitalisation ini, ramai peniaga baru tertarik untuk berniaga secara online kerana tidak memerlukan kos yang banyak untuk pembiayaan kos perniagaan tetap seperti sewa kedai, bil api dan air, dan sebagainya. Banyak platform perniagaan yang boleh digunakan secara online seperti media sosial (Facebook,Instagram,Whatsapp), website, aplikasi dan blog. Pada mereka yang sudah ada kedai sendiri, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti untuk tarik pelanggan datang ke kedai anda.
Sekiranya anda dapat menguruskan ‘magic number’ perniagaan anda dengan bijak, anda dapat mengurus kewangan bisnes anda dengan baik.
Memetik kata-kata Dr. Azizan Osman, ‘How you do anything is how you do everything’. Sekiranya anda bijak urus kewangan anda, anda akan urus bisnes anda juga dengan baik.