Dalam kehidupan ini

Yang terindah

Melalui usia remaja..

Memang mantap habis lirik lagu Wajah Rahsia Hati dari Fauziah Md Daud ni. Melalui usia remaja ni lah yang betul-betul terindah dalam hidup. Manakan tidak, banyak perkara yang boleh dilakukan. Melancong lah, membeli-belah tak ingat dunia, berseronok sana sini dan macam-macam lagi perkara yang boleh anda lakukan ketika remaja! Betul-betul? Tapi jaga-jaga jangan terlampau seronok sangat ‘menatang’ umur yang muda remaja ni, rancangan masa depan perlu juga difikirkan.

Ketika remaja ini lah, mereka baru nak memulakan kehidupan sendiri terutamanya mereka yang baru habis belajar atau sedang mencari kerja untuk baru mula bekerja. Mungkin sebelum ni banyak bergantung dengan ibu bapa, nak duit jer, mak ayah bagi kan, tapi kini lah masa untuk orang muda kita memulakan kehidupan mencari duit sendiri.

Kepada anda yang mempunyai anak muda remaja ni, share tips ini dengan mereka. Jangan harap suap duit kepada mereka saja. Sampai bila mereka nak belajar? Pengurusan kewangan sangat penting ketika di usia muda untuk persediaan menghadapi masa depan. Jadi jangan buang masa, ikuti tips ini untuk menguruskan kewangan peribadi untuk orang muda. Jangankan orang muda saja, sesiapa pun boleh ikuti tips ini ye.

1) ‘Buru’ Kerjaya

Bila dah habis belajar, ramai yang mula memburu kerjaya bagi mendapatkan pengalaman dan mula pegang duit gaji sendiri.

Tapi jangan terlalu memilih kerja. Buat kerja-kerja biasa dahulu adalah lebih baik daripada membuang masa menganggur jer. Pada peringkat awal bekerja, walau apa pun pekerjaan, utamakan untuk dapatkan ilmu dan pengalaman dahulu, bukan gaji. Janganlah tiba-tiba anda mintak gaji berpuluh ribu, sedangkan tiada pengalaman langsung!

Waktu muda adalah waktu menjana pendapatan semaksimumnya. Tapi, jangan pula sampai menyeksa diri. Kalau ada peluang, boleh jana pendapatan melalui peniagaan. Anda boleh jer lakukan dropship, jadi agen, mulakan bisnes kecil-kecilan dulu. Lama-lama nanti duit yang disimpan akan mula banyak.

2) Simpanan Peribadi

Ketika muda lah duit simpanan perlu dititikberatkan. Ramai orang muda yang tak buat simpanan ketika masih muda kerana menganggap simpanan itu tak penting. Sedarkah anda, simpanan dari muda sebenarnya membantu anda di hari tua.

Cuba bayangkan, ketika di usia tua baru anda terfikir untuk menjalankan perniagaan, dari situ anda dah boleh menggunakan wang simpanan itu untuk menjalankan perniagaan. Kan mudah? Dah tak perlu pening kepala fikir mana nak cari duit. Betul betul?

3) Jimat Perbelanjaan

Perbelanjaan di zaman kini memang mencabar. Nak nak pulak jika mempunyai keluarga. Mcam-macam benda nak kena fikir. Namun ada cara untuk anda berjimat ni terutamanya kepada orang muda. Berjimat ni sebenarnya dapat membantu anda untuk ‘lebihkan’ duit gaji yang ada.

Apa yang anda boleh lakukan adalah, kawal perbelanjaan ikut kemampuan dan pendapatan. Anda harus terima hakikat memang ada barang-barang atau perkara-perkara yang anda tak mampu miliki. Jangan terikut-ikut gaya hidup orang lain yang boros dan mewah. Yang merana nanti adalah anda sendiri, bukan mereka.

Cuba sediakan satu tabung khas perbelanjaan. Tabung ini untuk perbelanjaan-perbelanjaan mahal seperti pergi melancong atau beli barang-barang idaman. Selagi tabung tak capai sasaran, tangguhkan hasrat untuk perbelanjaan tersebut. Faham-faham?

4) Langsai Hutang

Hutang memang boleh dibawa mati. Tak terlangsainya hutang memang merana hidup. Apa yang paling penting, jangan suka berhutang. Hutang kad kredit, loan dan sebagainya. Buat keputusan yang betul dan tepat sebelum nak berhutang.

Kalau hutang tertunggak, anda sendiri yang mengundang bahaya. Banyak perkara yang membataskan anda untuk melakukannya. Tidakkah anda tahu, jika rekod bayaran tidak cantik, ia akan menjejaskan profil kredit anda.

Orang muda perlu cipta dan kekalkan rekod kredit yang baik dengan bank. Ini akan memudahkan permohonan untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan yang lebih penting untuk rumah dan hartanah.

5) Perlindungan Peribadi

Malang tidak berbau. Jika kecelakaan berlaku, anda sendiri pun tak boleh nak elak. Walaupun masih muda, jangan lupakan perlindungan insurans atau takaful. Boleh ambil perlindungan yang asas dahulu seperti perlindungan kemalangan diri dan kad perubatan. Bersiap sedia dari awal akan memudahkan anda nanti.

Kita merancang, Tuhan yang menentukan. Tak salah kiranya anda rancang betul-betul pengurusan kewangan demi masa hadapan. Ingat, usia muda hanya sekali sahaja, jadi anda harus nekad mengurus kewangan dengan berhemah agar tidak menjadi orang yang rugi di kemudian hari.