
Pejam celik , pejam celik sudah setahun rupa-rupanya program Spire ditubuhkan. Banyak perkara yang berlaku kepada peserta-peserta daripada program Spire. Jatuh bangun dalam bisnes itu biasa. Apabila melihat wajah-wajah mereka sekarang betapa bangganya perasaan ini tak tergambar tak terungkap dengan kata-kata. Masing-masing ada perubahan berlaku sama ada dalam bisnes mahupun dalam kehidupan mereka sendiri.
Teringat kembali semasa mula-mula program Spire dilancarkan, ramai yang mendaftar pada ketika itu di program Insentif Magnet Kejayaan dan Kekayaan (IMKK) pada bulan November 2018. Macam-macam watak yang dapat dilihat. Ada yang gembira, teruja, tersenyum sampai ke telinga semasa mengisi borang pendaftaran ke Spire. Tak kurang juga ada yang sedih, menangis tatkala menceritakan perjalanan dan liku-liku bisnes yang mereka hadapi kerana kami percaya bisnes bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibina. Dengan perasaan ketika itu ada yang sanggup mendaftar ke Spire walaupun di dalam akaun mereka hanya cukup-cukup makan sahaja dan kami juga percaya mereka adalah orang-orang yang berani dan percaya dengan tindakan yang diambil untuk melihat bisnes mereka berjaya dan boleh dikembangkan.

Suka untuk saya kongsikan apa yang telah berlaku kepada peserta-peserta Spire. Perubahan yang berlaku adalah disebabkan oleh mereka percaya dengan perkataan ini ‘’Trust the process’’. Baru-baru ini telah berlangsungnya Millionaire Marketing Mastery di Setia City Convention Center ( SCCC) Setia Alam, Shah Alam. Apa yang berlaku adalah tiba-tiba saya berasa sebak apabila melihat wajah-wajah mereka kerana saya merupakan salah seorang individu yang berada bersama mereka di saat mereka jatuh dan bangun. Macam tak percaya yang sekarang mereka adalah mereka. Mengapa saya katakana begini?

Sebenarnya orang yang berjaya adalah orang yang sabar dan percaya dengan proses yang dilalui. Dahulu masa mula-mula menyertai Spire ada yang menganggap Spire dapat membuat magik. Daftar dan terus jadi kaya dan berjaya. Mereka silap, dan lama kelamaan setelah setahun dalam Spire mereka mula sedar bahawa nak berjaya kena ada usaha, nak berjaya mesti ada tindakan dan nak berjaya mesti melalui proses. ‘’Trust the process’’ boleh didefinasikan sebagai yakin dengan perkara yang dilalui, yakin dengan tindakan yang dilakukan dan yakin dengan apa sahaja yang cabaran yang mendatang.
Ada tiga perkara yang ingin saya kongsikan apakah ciri-ciri orang yang ‘’Trust
the process’’. Pertama adalah orang yang mempunyai sikap hormat. Masih ramai
yang memandang enteng dengan sikap ini. Apa yang saya lihat adalah ramai orang
masih tidak boleh menghormati masa sedangkan mereka sedar bahawa masa tidak
boleh diundur. Saya boleh lihat hanya beberapa orang yang benar-benar hormati masa dengan datang kelas awal, masuk
dewan sebelum sesi bermula, duduk di tempat yang telah disediakan dan keluar
dewan selepas sesi pembelajaran tamat.
Kadang-kadang perkara sebegini selalu diambil mudah, tetapi jika
diterapkan dalam diri, kesannya adalah luar biasa .Disebabkan masa juga ramai
usahawan yang menanggung banyak kerugian. Sikap hormat ini boleh dipupuk
sekiranya anda inginkan perubahan itu berlaku.

Perkara kedua adalah orang yang mempunyai sikap yang merendah
diri. Walaupun sudah berjaya tetapi masih tidak melupakan asal usul mereka.
Jika bertanya tidak pernah mengelak. Ada
sahaja yang ingin dikongsikan tak lokek dengan ilmu yang telah dipelajari.
Mereka juga sentiasa bersedia untuk membantu orang lain. Saya percaya bahawa mereka
tidak pernah membezakan kedudukan sekarang dengan orang lain. Kalau mereka
tidak lalui proses yang terdahulu adakah mereka dapat berdiri di atas kejayaan
mereka sekarang? Betapa hebatnya mereka walaupun banyak perubahan yang berlaku
dan kejayaan demi kejayaan yang diperoleh, mereka masih meneruskan perjuangan
dan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada orang lain.
Perkara yang ketiga adalah orang yang tidak mudah mengalah. Cabaran yang
dilalui kadang-kala memberi kesan kepada orang sekeliling sama ada positif
mahupun negatif. Persoalannya berapa cepat mereka dapat atasi dan bangkit meneruskan perjuangan dalam
bisnes? Disebabkan ilmu yang ada mereka tahu apa ingin lakukan. Disebabkan ilmu
yang ada mereka tahu cara yang terbaik untuk selesaikan masalah dan disebabkan
ilmu yang ada juga mereka tahu dan percaya bahawa bukan senang nak senang dan
bukan susah nak susah. Proses ini juga adalah untuk melatih untuk sabar
menghadapi segala cabaran dan halangan dalam membina bisnes. Mana mungkin celik
mata boleh berjaya. Mana mungkin celik
mata dah berjuta-juta duit dalam akaun.
Kalau nak persoalkan kejayaan dari yang lain, lebih baik cakap dengan cermin. Ramai orang akan rasa gembira melihat kejayaan orang lain. Ramai orang akan cakap mereka hebat, mereka banyak duit, mereka boleh buat pilihan, mereka boleh dapat apa mereka mahu. Tetapi berapa ramai yang melihat kejayaan seseorang itu adalah disebabkan oleh proses yang mereka telah lalui sebelum ini. Tahniah kepada yang berjaya mengecapi kejayaan di Spire. Sayan sangat bangga melihat perkembangan positif yang mereka lalui. Semoga pada tahun 2020, lebih banyak kisah kejayaan yang dapat saya lihat melalui program Spire ini.
Hafiz Jasmi
Vice President – SBU Mentoring Program
Head of SPIRE Mentorship Program